Tips Berpuasa Untuk Ibu Menyusukan Anak
Tidak lama lagi Ramadhan menjelmakan diri. Sudah pastinya ketika ini ramai wanita terutama ibu-ibu yang sudah mula menggantikan puasa atau ada yang membuat marathon berpuasa.
Bagi ibu yang masih menyusukan anak, antara yang difikirkan yang kadang kala menyebabkan tertangguh menggantikan puasa ialah:
"Cukup ke susu ibu untuk anak aku?"
"Mampu ke aku berpuasa? Sekarang kalau terlambat makan pun boleh menggigil."
"Kalau berpuasa bagaimana aku nak mengepam susu?"
Ada yang tertanya-tanya seperti di atas? Jika tiada, tahniah pada diri anda. Jika ada, anda tidak keseorangan sebenarnya. InsyaAllah, susu ibu mencukupi untuk anak anda! Bagaimana?
TIPS BERPUASA UNTUK IBU MENYUSUKAN ANAK
PASTIKAN BERSAHUR
Walau penat bagaimanapun ibu, pastikan tidak meninggalkan makan dan minum ketika sahur.
PILIH MAKANAN BERSESUAIAN UNTUK SAHUR
Jika sebelum ini sudah bersahur namun rasa tidak larat lagi, pilih makanan yang bersesuaian.
Antara makanan yang bersesuaian ialah makanan yang mengandungi Indeks Glisemik yang rendah. Makanan seperti oat yang mempunyai Indeks Glisemik rendah memberikan rasa kenyang berpanjangan.
MINUM AIR MENCUKUPI
Air antara faktor utama dalam memastikan ibu mempunyai tenaga yang berpanjangan. Minum air secukupnya dengan anggaran berat setiap 25kg memerlukan 1 liter air.
Sekiranya memerlukan 2 liter air sehari, para ibu boleh menyediakan 4 botol air mineral 250ml dan minum 3 botol sebelum masuk tidur dan 1 botol lagi ketika bersahur.
TUKAR WAKTU MENGEPAM SUSU
Jika sebelum berpuasa, antara jadual mengepam yang disarankan sewaktu bekerja ialah pada jam:
8.00 pagi atau sebelum memulakan waktu kerja
10.30 pagi atau waktu minum pagi
1.00 petang atau ketika waktu makan tengah hari
4.30 petang atau sebelum balik ke rumah
Jika masih mampu meneruskan mengikut jadual mengepam berikut tiada masalah. Namun, ada ibu yang jika mengepam sebelum balik kerja akan berasa terlalu penat sehingga sakit kepala, tukar sedikit jadual mengepam.
Awalkan sesi mengepam di awal pagi dan jika tidak mampu tidak perlu mengepam pada jam 4.30 petang. Namun, bagi memastikan ibu masih mengepam 4 kali sehari sepanjang waktu bekerja tambah lagi satu sesi selepas bersahur. Ini pun jika bayi tidak bangun menyusu.
KENAL PASTI PUNCA BADAN TERLALU PENAT ATAU SAKIT KEPALA
Hanya diri sendiri yang lebih mengenali badan sendiri. Kenal pasti punca kenapa ibu terlalu penat atau ada yang sentiasa menghidap sakit kepala sewaktu berpuasa.
Kadangkala try and error perlu dilakukan dala memastikan punca tersebut.
Ada kala puncanya disebabkan tekanan darah rendah akibat kurang minum air atau badan ibu memerlukan air elektrolit. Atau pemakanan ibu tidak seimbang atau kurang nutrisi tertentu.
Sewajarnya ibu perlu memantau pemakanan ibu dan mendapatkan nutrisi yang mencukupi.
Ibu yang menyusukan anak tidak perlu takut atau terlalau memikirkan adakah susu ibu mencukupi atau tidak. Cuba dahulu berpuasa untuk mengetahui keadaan ibu dan juga jumlah susu ibu yang dihasilkan.
Sebaiknya, ini masa yang terbaik untuk mula berpuasa sebelum tibanya Ramadhan.
0 comments: