Banjir di Pahang - Misi Bantuan Kemanusiaan WOC
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Alhamdulillah telah selesai Konvoi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir yang telah kami sekeluarga ikuti. Semoga kerja amal ini dapat diterapkan dalam diri anak-anak dan sekaligus membantu meringankan beban bagi mereka yang memerlukan.
Seharusnya bantuan untuk bencana alam tidak melibatkan fahaman politik, jantina, agama, kaum dan sempadan geografi.
Bayangkan anak-anak kecil kelaparan ketiadaan makanan dan susu serta orang tua merekoft kesejukan dalam kedinginan banjir (sewaktu banjir, aircond tak perlu ya suhu tengah hari pun 23'C je pun). Tergamakkah kita membiarkan mereka ini dengan alasan , itu pusat pemindahan banjir tidak berdaftar atau itu bukan kawasan aku?
Jika kita manusia biasa yang masih ada akal, fikiran dan perasaan pastinya tidak tergamak membiarkan saudara kita mengalami keadaan seperti itu. Pastinya kita akan berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan bantuan kerana pastinya Negara Malaysia mempunyai pelbagai peralatan canggih untuk menyampaikan bantuan.
Jalan terputus dinaiki air? Takkan sehingga hari kami berkonvoi jalan masih terputus? Untuk makluman, kami menggunakan LPT dan tiada jalan terputus. Team WOC dari Johor walaupun menempuh jalan putus sanggup mencari jalan yang dilalui demi menyampaikan bantuan.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Betul bukan?
Terima kasih kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang memberikan kepercayaan dalam memberi sumbangan melalui kami untuk disampaikan kepada yang memerlukan (Geng RISDA, SEMESTI, Shakleepreneur). Amanah rakan telah berjaya kami sampaikan. Alhamdulillah.
Gambar sekitar perjalanan konvoi...
Barang keperluan yang dibeli |
WOC's Drivers |
Ahli keluarga WOC bersama-sama menyertai program |
Laluan WOC dari Johor - Kuantan |
Sungai Pahang yang dipenuhi air pada 07.12.2013 |
Segala perbelanjaan semasa konvoi adalah daripada duit ahli masing-masing dan tidak menggunakan sama sekali duit sumbangan untuk mangsa banjir.
Berikut catatan daripada tulisan Presiden Kelab WOC Malaysia untuk tatapan semua.
==========================================================================
"Syukur ke Hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, kita warga WOC (Wish Owners Club , Malaysia) Berjaya dalam menyempurnakan satu lagi program amal iaitu Konvoi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir di Kuantan pada 7 – 9 Disember 2013 yang lalu.Konvoi Ini bertujuan menyampaikan sumbangan kemanusiaan yang berupa barangan keperluan dan makanan serta wang tunai kepada mangsa-mangsa banjir.
(Ini merupakan konvoi amal kedua di tahun ini selepas Konvoi Ziarah Ramadhan (KZR) pada Ogos 2013 yang lalu).
Konvoi dan misi kali ini disertai oleh 39 ahli WOC dengan kekuatan 39 unit kereta wish, ahli keluarga masing-masing serta muatan barang makanan dan keperluan di dalam kereta wish masing-masing. Ahli-ahli WOC yang menyertai misi kali ini adalah gabungan dari WOC wilayah selatan, WOC wilayah tengah dan N9 , dan juga WOC wilayah timur.
Selain barang-barang makanan dan keperluan yang disumbang oleh ahli keluarga WOC, barang kemanusiaan juga dikumpul dari sumbangan rakan taulan dan kenalan ahli-ahli WOC. Misi kali ni juga berjaya mengumpul wang tunai hasil sumbangan kilat dari warga WOC dan juga rakan taulan WOC. Dimulai dengan perlancaran konvoi dari WOC central (8.30am)dari Kuala Lumpur dan tiba di Indahpura Pekan Lake Resort (petang). Dan dalam masa yang sama (8.50am) pelancaran konvoi WOC Southern sejumlah 25 kereta wish dari Johor Bahru menuju ke Kuantan melalui Segamat dan Muadzam. Konvoi WOC Southern kemudiannya bergabung dengan beberapa ahli wish dari Segamat setibanya di bandar Segamat.
Lebih kurang pukul 2.40pm, Konvoi WOC Southern telah terkandas di Muadzam Shah kerana jalan yang bakal dilalui di pekan Nenasi ditenggelami air. Konvoi terpaksa berpatah balik dan melalui Keratong 4, Bahau dan Karak sebelum menggunakan lebuhraya LPT menuju ke Gambang dan seterusnya ke Indahpura Pekan Lake Resort. Konvoi WOC Southern selamat tiba di resort berkenaan pada 11.10 malam setelah melalui perjalanan yang meletihkan dan sejauh 680km serta selama 14 jam.
Terima kasih kepada ahli-ahli konvoi Central, N9 dan East Coast kerana sabar menanti ketibaan WOC Southern serta menguruskan hal-hal berkaitan logistic, penginapan serta penundaan serahan bantuan kemanusian ini ke hari berikutnya.
Hari Kedua, pada jam 1.30 petang (08 Disember 2013), barangan keperluan dan makanan yang di bawa oleh jentera-jentera hebat WOC telah berjaya diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Bukit Rangin, Kuantan.
Pada jam 6.00 petang (08 Disember 2013), barangan keperluan dan makanan juga berjaya diserahkan kepada mangsa di pusat pemilihan di Sekolah Rendah Pandan, Kuantan. Di sini pihak WOC juga bersetuju untuk menampung pembelian barangan basah dan barangan masakan untuk keperluan makanan harian di pusat ini yang akan dikendali dan diselia oleh beberapa wakil dari WOC wilayah timur.
Konvoi WOC Central, N9 dan Southern berangkat pulang ke destinasi masing-masing pada jam 7.30 malam.
Pada 09 Disember 2013, aktiviti amal ini diteruskan oleh pihak WOC wilayah timur dengan mengurus dan menyelia pembelian barang keperluan masakan harian bersama-sama dengan ketua atau wakil pusat pemindahan Sekolah Rendah Pandan Kuantan.
AJK WOC Pusat dengan besarhati dan bangganya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua ahli WOC yang terlibat (WOC Southern, Central, N9 dan East Coast) atas kerjasama dan komitmen tinggi saudara-saudara dalam menjayakan misi kemanusiaan kali ini. Kekentalan, kekenyalan, ketabahan dan kesanggupan saudara-saudara serta ahli keluarga WOC yang menyertai misi dan konvoi ini dengan megharungi pelbagai kesukaran sepanjang perjalanan dan lain-lain yang berkaitan adalah amatlah dipuji dan semoga Allah membalasnya dengan balasan yang tidak terhingga akan pahala dan kebaikannya.
Kepada isteri dan anak-anak WOC yang menyertai misi dan konvoi ini, kesabaran saudari dan anak-anak dalam menyokong program suami dan ayah masing-masing merupakan satu nilai sokongan dan moral yang kami hargai dan jutaan terimakasih di ucapkan serta maaf dipohon jika ianya meletihkan dan memenatkan ibu-ibu dan anak-anak kelian.
Semoga program ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita dan keluarga bahawa di luar sana ada golongan yang memerlukan bantuan . Semoga ianya juga akan memberi impak dan makna kepada ahli keluarga kita dalam mendidik dan mendedahkan mereka untuk membantu meringankan beban masyarakat atau individu yang susah dan ditimpa bencana seperti ini dan lain-lainnya.
Sekian."
(Wak Kang)
YDP Wish Owners Club, Malaysia.
9 Disember 2013
========================================================================
0 comments: