Vitamin Yang Tidak Boleh Dimakan Bersama Dengan Warfarin (Ubat Cair Darah)

Warfarin ubat halang darah beku
Warfarin ialah sejenis ubat yang digunakan bagi menghalang pembekuan darah yang pekat. Ianya lebih popular dengan panggilan ‘ubat cair darah’ dalam kalangan pesakit. Walaupun begitu, sebenarnya warfarin tidak mencairkan darah tetapi menghalang darah daripada mudah membeku dan membentuk gumpalan yang mampu menyekat perjalanan darah yang seterusnya menyebabkan komplikasi penyakit seperti serangan jantung, strok ataupun pulmonari embolisma.

Warfarin digunakan bagi merawat penyakit yang dipanggil venous thrombosis (pembekuan darah pada salur darah vena) dan cabangnya iaitu pulmonari embolisma (pembekuan darah pada paru-paru). Ia juga digunakan pada pesakit yang mempunyai degupan jantung yang tidak sekata (atrial fibrillation) ataupun pesakit yang telah menjalani penukaran injap pada jantung. Selain daripada itu, warfarin juga digunakan bagi mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung kali kedua dan strok.
Bagi pesakit yang mengambil warfarin, lazimnya kepekatan darah akan sentiasa dipantau bagi mencapai keberkesanan yang disasarkan selain mengelakkan risiko pendarahan. Bagi tujuan permonitoran darah, International Normalised Ratio (INR) digunakan sebagai kayu pengukur kepada kepekatan darah. Biasanya sasaran kepekatan darah adalah antara INR 2.0 – 3.0 dan kepekatan darah yang melepasi 4.0 dikatakan tidak mempunyai kelebihan dari segi keberkesanan dan boleh mendedahkan pesakit kepada risiko pendarahan. Oleh itu, sasaran kepekatan darah yang digunakan adalah spesifik bagi setiap individu pesakit mengikut kepada indikasi warfarin tersebut.
Warfarin berfungsi dengan cara menghalang pembentukan semula vitamin K di dalam badan manusia. Oleh sebab itu, warfarin juga dikenali sebagai antagonis kepada vitamin K (vitamin K antagonists). Maka, sebarang makanan yang mempunyai banyak vitamin K mampu mengurangkan keberkesanan warfarin dalam menghalang pembekuan darah.
Antara sumber makanan yang mempunyai kandungan vitamin K yang tingggi adalah seperti hati, sayur brokoli, tauge dan sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, ketumbar dan kubis. Selain daripada itu, warfarin juga bertindakbalas dengan buah kranberi dan anggur.
Justeru, pesakit yang mengambil ubat warfarin ini haruslah menjaga pemakanan mereka agar keberkesanan rawatan warfarin dapat dicapai dan diteruskan selain mengelakkan pendarahan daripada berlaku. Sebarang perubahan ketara kepada diet harian mahupun pengambilan ubat-ubatan lain hendaklah dilakukan selepas berbincang dengan pakar perubatan yang merawat dan ahli farmasi.
Isu yang sering dibangkitkan berkaitan dengan penggunaan warfarin ini adalah risiko pendarahan. Oleh itu, pesakit yang mengambil ubat warfarin kerap dinasihatkan agar sentiasa memerhatikan sebarang tanda-tanda pendarahan yang mungkin berlaku seperti kencing atau najis berdarah, kewujudan tanda-tanda lebam pada anggota badan, pendarahan pada gusi atau anggota lain yang tidak berhenti dan najis yang bertukar warna kepada warna hitam pekat. Selain daripada itu, risiko pendarahan juga boleh berlaku melalui pendarahan semasa haid yang melampau dan juga pendarahan hidung yang tidak berhenti.
Pesakit yang mempunyai sebarang tanda-tanda pendarahan adalah dinasihatkan agar terus berjumpa dengan doktor dan membawa bersama semua ubat yang diambil termasuklah warfarin bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai punca pendarahan tersebut.
Pesakit-pesakit yang menerima rawatan warfarin juga hendaklah sentiasa berwaspada apabila hendak melakukan sebarang prosedur kesihatan seperti rawatan pergigian. Menjadi tanggungjawab pesakit untuk memberitahu doktor berkaitan ubat warfarin yang diambil bagi mengelakkan risiko pendarahan yang mungkin berlaku.
Bagi memastikan pesakit yang mengambil warfarin dapat mencapai keberkesanan yang diingini dan mengelakkan sebarang risiko pendarahan, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah mewujudkan perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) warfarin. Perkhidmatan MTAC Warfarin ini dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai farmasi di hospital.
Melalui program MTAC Warfarin ini, pesakit boleh mendapat lebih banyak maklumat mengenai warfarin, diet dan pemakanan, interaksi warfarin dengan ubat-ubatan lain serta tahap kepekatan darah (INR) mereka. Setiap pesakit diberikan buku rekod warfarin agar pesakit boleh merekodkan bacaan INR dan seterusnya memantau perkembangan kepekatan darah mereka.
Pesakit disarankan untuk mengambil warfarin sebelum makan malam bagi memastikan ianya mencapai keberkesanan yang optima. Sekiranya pesakit terlupa untuk mengambil warfarin sebelum makan, ia boleh diambil dua jam selepas makan. Walau bagaimanapun, jika pesakit terlupa untuk mengambil warfarin pada hari yang sama, pesakit boleh mengambil dos warfarin yang seterusnya pada waktu dan dos yang sama pada hari esok. Pesakit tidak boleh sama sekali menggandakan dos warfarin pada hari itu bagi menampung kekurangan dos yang terlupa diambil semalam harinya.
Dengan kerjasama erat dalam kalangan profesional kesihatan dan pesakit, adalah diharapkan keberkesanan rawatan warfarin yang optima dapat dicapai dan dalam masa yang sama, risiko pendarahan dapat dielakkan.
Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. 
Bagi yang mengambil Shaklee, antara vitamin dan supplement yang mengandungi Vitamin K ialah Alfalfa dan Vita-lea. Jadi kenalpasti ubat yang dimakan dan vitamin yang diambil agar ia tidak mengurangkan kesan salah satunya.



2 comments:

  1. kena hati-hati..ada juga vitamin yg tak leh dimakan dengan ubat.

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yang menarik...

    ReplyDelete