11 PETUA BERCERAI SUSU BADAN UNTUK ANAK YANG SUKA MENGEMPENG
Siapa anaknya masih menyusu badan walaupun sudah melangkau umur 2 tahun? 4 tahun mungkin dan masih menyusu badan?
Pada umur ini, penyusuan bukanlah sebagai sumber untuk mendapatkan nutrisi kerana sudah mulai makan. Namun ia lebih kepada memenuhi keperluan emosi dan psikologi anak. Anak hanya ingin bersama dengan ibu, mencium bau ibu dan didakap oleh ibu. Ia memberikan rasa selamat kepada anak.
Tetapi sebagai ibu yang mempunyai tanggungjawab lain, mungkin terfikir sudah tiba masanya untuk anak menghentikan penyusuan.
Tiada masalah untuk menghentikan penyusuan atau menceraikan susu. Namun biarlah dalam keadaan biasa yang tidak mendesak dan bukan menceraikan susu dalam keadaan yang stress bagi kedua-dua pihak.
Contohnya, dengan meletak asam jawa pada payudara ibu atau meletak air sirap dengan alasan payudara ibu sakit dan tidak lagi boleh menyusukan anak. Bahkan ada yang meletak serbuk kopi agar terasa pahit.
Trauma anak nanti!
Habis tu nak buat macammana ye?
1) Pastikan anak kenyang dengan makanan seharian supaya nutrisi anak dipenuhi dan anak tidak bergantung lagi kepada susu ibu.
2) Ajar anak untuk minum susu segar bagi menggantikan susu ibu. Susu formula sebenarnya tidaklah wajib bagi anak yang sudah bercerai susu. Jika anak tidak mahu minum susu formula, jangan dipaksa. Buat alternatif lain sebagai sumber kalsium. Malah susu segar lebih baik dari susu kalsium.
3) Berbincang dengan anak. Anak sudah faham ya dengan percakapan kita. Ceritakan kepada anak kenapa perlu menghentikan penyusuan dan berikan alternatif kepada anak.
4) Kenalpasti waktu anak suka menyusu dan gantikan dengan aktiviti lain. Ada anak yang suka menyusu dalam kenderaan semasa perjalanan. Mungkin anak bosan atau lapar. Jadi, buat aktiviti atau pastikan perut anak tidak kosong semasa memulakan atau semasa dalam perjalanan.
5) Antara waktu yang paling anak suka untuk mengempeng (istilah yang digunakan di beberapa tempat bermaksud melekap untuk menyusu) ialah semasa anak ingin tidur. Apa kata, ibu bercerita atau mengurut lembut anak sehingga anak tertidur.
6) Jangan cuba untuk tawar-menawar dengan memberikan imbuhan susu ibu. Ini akan membuatkan anak keliru dan akan melakukan lagi perkara tersebut agar ibu menawarkan susu ibu. Ibu perlu konsisten untuk tidak menyusu anak.
7) Selalulah peluk dan cium anak agar anak berasa seperti dahulu semasa menyusu badan. Jangan tinggalkan anak sendirian untuk tidur sendiri ketika ini. Anak akan merasa kurang sentuhan dan mungkin mengaitkan susu ibu - ibu peluk.
8) Gunakan kaedah psikologi dengan menerangkan bahawa anak seusia beliau tidak perlu lagi menyusukan badan. Jika sudah anak, terangkan kepentingan susu ibu kepada adik yang tidak boleh makan dan minum berbanding dengan anak yang sudah besar.
9) Bekerjasama dengan suami dan ahli keluarga lain untuk menerangkan kenapa anak tidak perlu lagi menyusui ibu. Tetapi saya kurang gemar jika ada yang mengejek anak tersebut dan berkata ia perbuatan yang memalukan. Sebaiknya, terangkan sahaja perkara sebenar iaitu susu ibu tidak lagi sesuai untuk anak yang sudah semakin besar.
10) Berikan ganjaran setiap kali anak berjaya untuk tidak menyusu badan.
11) Berdoalah kepada Allah SWT agar ia dipermudahkan dan tidak mendatangkan tekanan kepada ibu dan anak.
0 comments: