4 Cara Bernafas Dengan Betul Untuk Mudahkan Bersalin

Pernah menonton drama ketika scene seorang ibu akan bersalin? Kalau kita lihat yang selalunya yang berada di sekeliling akan berkata "push, push, push". Ibu yang ingin bersalin itu pula akan memuncungkan mulut dan berkata "fuh fuh fuh". 

Betul ke cara tersebut? 



Teknik pernafasan sebenarnya amat penting semasa proses bersalin. Teknik pernafasan semasa bersalin mungkin berbeza dengan teknik pernafasan semasa bersenam, berenang mahupun menyanyi. Bagaimanapun memang ternyata bahawa teknik pernafasan mempengaruhi prestasi semasa bersenam, berenang dan menyanyi.

Jika tidak, tiadalah guru vokal Akademi Fantasia mengajar cara bernafas dengan betul semasa menyanyi.

Kenapa pernafasan dengan cara yang betul penting semasa bersalin? Proses bersalin adalah satu proses yang penuh risiko dan boleh berlaku pelbagai komplikasi. Kadangkala kita sendiri tidak boleh menjangkakan berapa lama tempoh untuk bersalin. Sekiranya sekejap, Alhamdulillah.

Sekiranya lebih lama? Pasti kita perlu banyak tenaga agar boleh meneran dengan betul dan tidak keletihan.

Selain itu cara bernafas dengan betul boleh mengurangkan tumpuan kepada kesakitan yang dialami. Ia juga dapat membekalkan bekalan oksigen yang secukupnya kepada otot yang berkaitan proses kelahiran itu sendiri.

Sekiranya ibu tidak bernafas dengan betul, ia boleh menyebabkan pernafasan panis sekaligus terjadinya hyperventilation. Sekiranya hyperventilation berlaku pada ibu yang akan bersalin ia akan mencetuskan keadaan ibu menjadi pening dan kebas-kebas di mulut serta jari-jemari. Sekiranya ini yang berlaku, tutup mulut sendiri dengan tangan dan hidu semula pernafasan sendiri. 

Untuk mendapat teknik pernafasan yang betul, sebaiknya ibu hadir ke kelas antenatal bersama suami untuk belajar. Manalah tahu semasa panik, ibu lupa teknik pernafasan yang diajar dalam kelas dan suami boleh ajarkan. Jangan terbalik sudah!

1) BERNAFAS PERLAHAN-LAHAN
Sekiranya ibu sudah merasai rasa kesakitan ingin bersalin, ibu digalakkan bernafas secara perlahan-lahan. Jangan panik! Untuk mengelak juga risiko panik, pastikan semua barang untuk dibawa ke hospital telah disediakan. Panik ibu akan bertambah sekiranya ketika itu juga baru ibu nak berkemas.

Pastikan ibu menarik nafas menggunakan hidung dan bukannya mulut. Tutup mulut anda ketika menarik nafas. Tarik nafas secara perlahan-lahan. Cuba buat kiraan sendiri. Sekiranya menarik nafas dengan kiraan lima, pastikan ibu menghembus nafas lebih perlahan dari tersebut. Mungkin dengan kiraan 8-10, baru selesai menghembus nafas. Hembus nafas pula melalui mulut. 

2) PANTING  KEPADA BERNAFAS BIASA
Sekiranya sakit bersalin atau kontraksi semakin kuat (masa ini mesti terfikir, taubat dah tak nak bersalin), hembus nafas dahulu sebelum menarik nafas kembali.

Semakin kuat kontraksi tersebut, ibu boleh menukar teknik pernafasan kepada tercungap-cungap. Ini yang aksi kita selalu tontot dalam drama. Dengan muncung mulut, ibu akan bernafas secara tercungap-cungap atau istilah lain panting. Nafas akan keluar dengan fuh, fuh, fuh. Cuba buat. 

Apabila kontraksi hilang, boleh bernafas seperti biasa.

3) PANTING KEPADA HEMBUS
Lazimnya ketika ini, kontraksi semakin kuat namun pangkal rahim belum terbuka sepenuhnya. 

Jangan meneran dulu sehingga diberitahu oleh doktor.

Lakukan teknik pernafasan panting-panting-hembus.

4) PERNAFASAN LAMAZE
Sekiranya ada menonton cerita ibu di negara orang putih bersalin, mereka akan bernafas sambil menyebut hee-hee-hoo.

Teknik pernafasan ini sebaiknya dipelajari di kelas antenatal. Ini disebabkan kita jarang bernafas sebegitu. Jadi sebaiknya belajar untuk mendapat cara yang betul. Setelah belajar, jangan pula untuk praktiskan. 

Sedikit tips untuk meneran:
1) Rapatkan dagu ke dada
2) Belakang badan sandarkan pada katil.
3) Meneran dengan mendengar arahan daripada doktor. Meneran dengan menggunakan  abdomen dan bukannya muka.
4) Pastikan ketika meneran, punggung tidak diangkat. Tahan kedua-dua belah kaki dengan menggunakan tangan serta pasakkan belakang badan ke katil agar tidak mengangkat punggung. Mengangkat punggung boleh menyebabkan koyak yang lebih besar.

3 comments:

  1. Terima kasih kongsikan..boleh cuba untuk anak ketiga nanti..haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh ajar isteri nanti ye..jangan suami terlebih panik ye..

      Delete
    2. This comment has been removed by a blog administrator.

      Delete